Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2023 akan melibatkan jumlah keseluruhan seramai 14,000 orang kanak-kanak yang belajar di Little Caliphs di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Seramai 6,500 orang pelajar Tadika Little Caliphs (LC) menyertai Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2023 dalam usaha menyemarakkan sambutan bulan haji Zulhijah tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Little Caliphs International Sdn Bhd., Datuk Roslan Nordin berkata, program kali ketujuh sejak 2016 itu melibatkan pelajar tadika LC dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia disokong oleh 780 orang guru sebagai tenaga mutawif.

Beliau berkata, program itu juga akan dijalankan di beberapa negeri lain termasuk Terengganu, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, dan Zon Selatan.

“Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2023 akan melibatkan jumlah keseluruhan seramai 14,000 orang kanak-kanak yang belajar di LC di seluruh negara.

“Objektif utama program ini adalah untuk memberikan pengalaman berharga kaedah praktikal ‘Naik Haji’ kepada anakanak berumur enam tahun dengan menggunakan pendekatan praktikal melalui metodologi Project Based Learning (PBL) dari The Little Caliphs Program,” katanya.

Menerusi program itu, pelajar berpeluang melakukan cara ikonik aktiviti tawaf mengelilingi replika Kaabah dengan ketinggian 10 kaki.

Aktiviti yang turut dijalankan cara memakai kain ihram untuk haji, pengenalan aktiviti wuquf di arafah, bermalam di Muzdalifah, mabit di Mina, saei, melontar jamrah dan tahalul.

Program Simulasi Haji Cilik Little Hajj 2023 diadakan kali ketujuh sejak 2016.

Mengulas lanjut, Roslan meluahkan rasa syukur kerana sepanjang tempoh 20 tahun, LC telah mengubah landskap pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia yang mana telah menjadi mercu tanda kepada harapan buat ibu-bapa dan pendidik.

Jelas beliau ini kerana, kurikulum dan metodologi pengajaran yang digunakan oleh LC bukan sahaja inovatif dan terbukti berkesan malah turut diserapkan dengan nilai-nilai yang diajarkan oleh agama Islam.

Katanya, ia selaras dengan misi kurikulum LC iaitu untuk menanam rasa cinta akan Islam dan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak sebagai persiapan awal untuk mereka menjadi hamba Allah, khalifah Allah dan mat Nabi Muhammad S.A.W yang soleh.

“Tahun-tahun prasekolah ini adalah penting dalam pembentukan minda dan akhlak kanak-kanak yang bakal memacu masa hadapan negara kita.

“LC sentiasa ke arah dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif dan memupuk semangat ingin tahu serta menggalakkan pertumbuhan yang lebih menyeluruh.

“Kurikulum dan aktiviti yang dijalankan oleh LC mampu merealisasikan hasrat agar kanak-kanak dapat mencapai potensi penuh mereka dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya dari segi potensi spiritual, fizikal, intelektual, dan juga sosio-emosi,” katanya.

Sementara itu, LC yang bermula dari belakang rumah dan kini mempunyai lebih 480 cawangan tadika di seluruh Malaysia dan melebarkan sayapnya melalui Go World di Indonesia dan seterusnya Thailand.

Bukan sahaja tadika, LC juga bakal mengembangkan sayap melalui Little Caliphs Playschool untuk anak-anak dua hingga tahun dan juga Program Transit untuk anak-anak lapan hingga 12 tahun.

Seiring dengan peredaran masa kini, pembelajaran berteraskan teknologi juga diperkenalkan pada tahun ini melalui program pengayaan ‘Enrichment Program’ Kidzori yang memperkenalkan produk digital pertamanya iaitu Kidzori 5M. – MalaysiaGazette

Little Caliphs yang bermula dari belakang rumah sejak 20 tahun lalu, kini mempunyai lebih 480 cawangan tadika di seluruh Malaysia.