KAHRAMANMARAS (TURKIYE) – Faktor keselamatan, perbezaan budaya dan jarak yang jauh bukan penghalang buat PasRelief menyampaikan amanah rakyat Malaysia melalui misi kemanusiaan di Turkiye yang ditimpa bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu.
Komitmen terbukti apabila entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa milik Pas itu sudah lima kali menjejaki kaki di negara itu dalam tempoh empat bulan ini.
Bermula dengan misi pertama pada 16 Februari lalu, PasRelief menyasarkan untuk membina rumah kontena buat mangsa gempa di negara berkenaan.
Dan hari ini, PasRelief telah berjaya menyampaikan amanah rakyat Malaysia apabila menyiapkan 36 rumah kontena di mana kos RM30,000 bagi sebuah rumah itu.
Namun atas prihatin dan simpati dengan saudara muslim di sana, lebih RM1 juta disumbangkan hingga membolehkan rumah kontena itu kini berdiri megah.
MalaysiaGazette yang mengikuti misi bantuan pasca gempa bumi Turkiye-Syria ke Turkiye anjuran PasRelief baru-baru ini berpeluang melihat keadaan rumah kontena itu yang kini didiami oleh mangsa gempa sama ada bagi satu keluarga atau pelajar tahfiz di sana.
Apa yang menarik, rumah kontena ini dibahagikan kepada dua model di mana bagi yang berkeluarga, rekaan dalamannya memiliki satu katil besar, ruang tamu kecil, dapur dan sinki serta bilik air.
Ia boleh didiami satu keluarga seramai lima orang manakala bagi rumah kontena untuk pelajar tahfiz, lima tilam disediakan dan tandas disediakan di luar iaitu dalam kontena berasingan.
Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Matpiah berkata, misi kelima itu bagi memantau pembinaan rumah kontena itu bagi memastikan apa yang dirancang dapat disiapkan dengan lancar.
Beliau yang Pengarah Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria memberitahu, pihaknya juga ingin memastikan rumah dapat memberi manfaat kepada mangsa gempa terutama kepada pelajar tahfiz wanita.
“Di sini kami menyediakan sembilan rumah kontena kepada pelajar tahfiz dan kami bersyukur sebahagian sumbangan rakyat Malaysia telah sampai ke sasaran.
“Saya mewakili PasRelief dan Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria ingin mengucap terima kasih kepada mangsa gempa bumi di bandar ini,” katanya yang mengetuai misi berkenaan baru-baru ini.
Sejak 2017, PasRelief berperanan sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara.
Selain Mohd. Yusni, turut menyertai misi yang sama seramai lapan orang termasuk dua wakil media adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementara itu, Muhammad Khalil meluahkan rasa syukur kerana pembinaan rumah kontena itu mendapat maklum balas positif dalam kalangan mangsa gempa.
Beliau memberitahu, pujian turut dilemparkan oleh salah seorang daripada 11 datuk bandar di wilayah berkenaan yang teruja dengan projek rumah kontena.
“Beliau (datuk bandar) mengucap terima kasih kepada PasRelief dan rakyat Malaysia dan mereka sangat menghargai sumbangan yang diberikan ini.
“Insya-Allah usaha yang dilakukan ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan dua negara iaitu Malaysia dan Turkiye dan mudah-mudahan semua sumbangan ini diterima Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi PasRelief, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyumbang sebanyak 10,000 buah lagi rumah kontena menerusi misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Beliau berkata, PasRelief akan terus menyumbang lagi rumah kontena secara berperingkat memandangkan ia selesa untuk mangsa di sana kerana memiliki bilik air sekali di dalam rumah itu.
Beliau yang Menteri Besar Kedah menyasarkan dapat mengutip dana sebanyak RM3 juta untuk menyumbang 100,000 lagi rumah itu memandangkan harga rumah kontena ini menelan kos RM30,000.
Sementara itu, angka kematian akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu di Turkiye melibatkan 45,968 kematian yang disahkan selain 7,259 kematian di utara Syria. – MalaysiaGazette