DJ Lin.

KUALA LUMPUR – Penyampai radio popular, DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid sekali lagi berjaya dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia dalam anugerah Reader’s Digest Trusted Brands 2023 baru-baru ini.

Bersyukur terus menjadi pilihan pendengar, DJ Lin, 48, yang cukup popular menerusi segmen Suria Cinta meluahkan rasa syukur kerana terus menjadi pilihan pendengar dalam dunia penyiaran radio yang mendapat sokongan orang ramai.

Lin turut percaya selagi berpegang kepada usaha keras dan kejujuran dalam berkarier, akan ada kejayaan menanti di hadapan biar pun semakin ramai penyampai baharu yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

“Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati dan teruja untuk menerima anugerah berprestij daripada Reader’s Digest buat kali ketiga.

“Perasaan ini sukar untuk digambarkan kerana setelah lebih 24 tahun berkecimpung dalam industri radio tanah air, rakyat Malaysia masih mengundi dan menyokong saya sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai,” katanya yang juga Pengurus Besar Suria FM itu.

Ujar penyampai radio kelahiran Larkin Jaya, Johor Bahru itu, dia tidak akan berada pada tahap sekarang, tanpa bantuan orang sekeliling.

“Terima kasih buat pihak penganjur, majalah antarabangsa, Reader’s Digest dan juga buat keluarga, rakan rakan media, para peminat dari seluruh negara.

“Juga tidak dilupakan keluarga besar Suria FM dan pihak pengurusan Star Media Group Berhad yang banyak berjasa kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai seorang penyampai radio,” ujarnya.

Kejayaan yang diraih buat kali ketiga itu membuatkan dirinya untuk terus memberikan kualiti kerja yang cemerlang sekali gus mengangkat dunia penyiaran radio tanah air ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan pengiktirafan ini, saya akan terus berusaha untuk berikan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat pendengar setia Suria Cinta.

“Sungguh, saya tidak akan berada pada tahap sekarang andai bukan sebab sokongan dan dukungan orang ramai terutama para pendengar setia Suria FM dan semestinya segmen Suria Cinta,” katanya.

Sementara itu, trofi Penyampai Radio Paling Dipercayai sekali gus menjadi anugerah ke-13 yang pernah diterima sepanjang hayat karier DJ Lin setakat ini.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-25 mengiktiraf jenama yang dipercayai berdasarkan undian daripada 8,000 individu yang telah dipilih daripada lima negara, antaranya Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Suria Cinta setia bersiaran setiap hari Ahad hingga Jumaat pukul 8 malam hingga 1 pagi menerusi frekuensi Suria FM atau menerusi aplikasi Suria Malaysia dan saluran YouTube Suria TV. – MalaysiaGazete