Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Pengilang, pemborong dan pemilik kedai runcit diberi amaran supaya tidak berkomplot untuk menaikkan harga gula biasa selepas gula premium diperkenalkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menyebabkan harga gula biasa naik.

“Sama ada pemborong (atau) peruncit sekiranya mereka bermain atau berkomplot harga gula rakyat anda akan berhadapan dengan tindakan. Mereka akan didakwa, dibawa ke mahkamah.

“Sama ada pengilang, pemborong, kedai runcit mereka serta merta akan disenaraihitamkan. Menangislah air mata darah berjumpa saya di pejabat, tidak akan saya kompromi demi rakyat,” katanya mengulung perbahasan Penerangan Menteri di Dewan Rakyat.

Dalam penerangan kepada Parlimen, Salahuddin memberitahu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dibenarkan mengeluarkan dan memasarkan gula putih bertapis jernih (gula jernih).

Syarikat terbabit juga dibenarkan untuk menjual gula berkenaan berdasarkan harga pasaran bermula 25 Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua syarikat terikat dengan Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peruntukan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 memastikan jumlah minimum pengeluaran dan pengedaran gula biasa dikekalkan sebanyak 42,000 metrik tan (MT) sebulan.

“Daripada jumlah tersebut, berdasarkan kapasiti kilang masing-masing, MSM perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 24,000 MT.

“Dan CSR 18,000 MT bagi menampung keperluan rakyat termasuk penjaja dan peniaga kecil. KPDN memantau rapi pengeluaran dan pengedaran ini melalui penyerahan laporan harian oleh MSM dan CSR,” kata Salahuddin.

Ops Manis bermula pada 3 Mei hingga 2 Jun meliputi Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang sebanyak 2,409 buah premis telah diperiksa dengan 49 aduan diterima dan 4 kes dihasilkan.

Ops Manis 2.0 sehingga 10 Jun jumlah kumulatif premis yang diperiksa telah meningkat kepada 3,090 buah di mana aduan yang diterima berjumlah 70 dan 14 kes dihasilkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast