Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh langkah dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, menerusi penggunaan automasi dan mekanisasi, kebergantungan pekerja asing dapat dihadkan kepada 15 peratus daripada tenaga kerja.

Katanya, pelbagai program dilaksanakan secara berterusan di pelbagai peringkat dan golongan sasar sebagai persiapan menyokong peralihan pekerjaan masa depan melalui jabatan dan agensi di bawah Kementerian itu.

“Kita membangunkan Standard Kemahiran Pekerjan Kebangsaan bagi 21 seksyen ekonomi yang menjadi rujukan dalam pembangunan program TVET di institusi-institusi latihan awam dan swasta mengikut tahap kemahiran yang diperlukan.

“Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan ini dibangunkan secara bersama dengan pakar industri mengikut permintaan pekerjaan baharu dan perkembangan teknologi terkini. Sehingga Mei 2023 sebanyak 2,062 standard pekerjaan telah dibangunkan bagi tujuan latihan dan persijilan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang meminta kementerian menyatakan persiapan dan majikan bagi menyokong peralihan pekerjaan masa depan melalui struktur pendidikan, kemahiran semula dan struktur sokongan sosial kepada pekerja tempatan di samping penggunaan automasi dan mekanisme sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan buruh asing.

Menurut Mohd Yunus lagi, kementeriannya turut mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri bersama jabatan dan agensi terlibat bagi memberi gambaran jelas berkaitan Industri 4.0.

Katanya, maklumat hasil perkongsian daripada sesi itu akan digunakan untuk mengkaji dan meneliti keperluan tenaga kerja bagi menghadapi Industri 4.0 dan seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Malah, turut dilakukan adalah memperluas akses kepada warganegara untuk mendapatkan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

“Sehingga Mei 2023, terdapat 1,518 buah Institusi Latihan Kemahiran yang bertauliah di bawah sistem Persijilan Kemahiran Malaysia merentasi pelbagai kementerian dan agensi latihan swasta dalam pelbagai kursus kemahiran.

“Pembangunan platform MyNext oleh TalentCorp yang merupakan platform solusi bakat bersepadu dan data analitik yang menggabungkan siswazah, pekerja, syarikat dan institusi pendidikan.

“Fokus utama mynext adalah untuk merapatkan jurang di antara penawaran bakat di Malaysia dengan pekerjaan masa hadapan bertindak sebagai platform mendapatkan latihan industri,” ujarnya.

Tambah beliau, turut diadakan Program Latihan Industri Berstruktur Nasional (MySIP) di bawah TalentCorp yang bertindak sebagai penggalak kepada penyertaan dan penglibatan lebih banyak syarikat dan industri untuk membuka lebih banyak peluang penempatan latihan industri berkualiti bagi melatih bakat muda negara melalui insentif potongan cukai berganda.

“Kita juga mengambil inisiatif untuk melaksankan Young Employable Students di sekolah Institut Pengajian Tinggi dan TVET sebagai intervensi proaktif melalui penerapan elemen pendedahan aspek keboleh pasaran graduan negara melalui kerjasama rakan kolaborasi strategik dalam usaha meningkatkan ketersediaan bakal graduan sebelum melangkah ke pasaran kerja dengan penerapan elemen kepimpinan, bimbingan kerjaya, bengkel soft-skills berkaitan kerjaya, keusahawanan dan pendedahan kepada perkembangan semasa pasaran kerja.

“Kita juga melalukan pungutan levi daripada majikan dan pembiayaan program latihan melalui pelbagai program latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran berstruktur kepada tenaga kerja bagi membantu memacu perkembangan syarikat dan menyumbang kepada produktiviti negara,” katanya. – MalaysiaGazette