udin
Nasib Ahmad Awaluddin Idris mendapat perhatian Asyraf Wajdi Dusuki. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia untuk membantu remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ahmad Awaluddin Idris, 18, di Padang Rengas, Perak yang menjual nasi lemak kerana ingin membantu ibu saudaranya yang patah kaki setelah terlibat dengan kemalangan.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau terbaca kisah remaja yatim piatu itu setelah bapanya meninggal dunia ketika dia berumur 2 tahun dan kehilangan ibunya pula dua tahun kemudian.

Menurut beliau, remaja yang dikenali sebagai Udin itu juga menghidap penyakit jantung berlubang.

“Saya telah meminta Pengarah Mara Perak untuk bertemu dengan adik Udin ini bagi membolehkan Mara bantu dengan peluang-peluang latihan keusahawanan, pembiayaan mahupun untuk adik ini dapat melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pendidikan Mara bergantung kepada keputusan SPMnya.

“Mara bukan hanya menumpukan kepada pelajar yang cemerlang sahaja malah Mara juga turut membuka ruang dan peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang kurang cemerlang untuk menceburi pelbagai bidang latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang menarik dan memenuhi keperluan zaman dan pasaran,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kisah Udin menjual nasi lemak bagi membantu ibu saudaranya diketahui ramai setelah tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette