KUANTAN – Seorang pejalan kaki maut setelah dirempuh oleh sebuah kereta di Batu 12, Jalan Kuantan- Gambang hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan maut berlaku 8.50 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Axia putih yang datang dari arah Balok Perdana menuju ke Batu 11.
”Apabila sampai di tempat kejadian, ketika berada di lorong kanan, tiba-tiba pejalan kaki telah melintas dari kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya.
Mangsa, S. Paradaman, 57, merupakan seorang buruh telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Wan Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat setelah proses ujian calitan Covid-19 dilakukan.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.– MalaysiaGazette