Dewan Rakyat pada sesi petang menjadi gamat apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bertikam lidah antara satu sama lain

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat pada sesi petang menjadi gamat apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bertikam lidah antara satu sama lain.

Kedua-dua mereka menjerit dengan mengeluarkan kata-kata penyangak, penyamun dan perompak.

Situasi panas itu bermula ketika Shahidan yang diberi masa lapan minit membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tahun 2020.

Shahidan mula melemparkan dakwaan  kerajaan mencabuli hak Ahli Parlimen pembangkang dengan tidak menyalurkan peruntukan sewajarnya.

Beliau turut menggesa orang muda supaya menolak dan menukar kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Mohd Sany kemudian mempersoalkan apa yang dinyatakan oleh Shahidan sama ada beliau telah berunding dengan kerajaan mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang itu.

Keadaan berubah menjadi tegang apabila Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) menyatakan Mohd Sany sepatutnya tidak mengganggu perkara yang dibahaskan oleh Shahidan.

Shahidan yang merupakan bekas menteri Wilayah Persekutan turut dilihat berang dengan tindakan Mohd Sany yang tidak mahu duduk.

Sewaktu masing-masing tidak mahu mengalah, Shahidan tiba-tiba menggelar Mohd Sany ‘penyamun’ sambil menuding jari ke arah blok kerajaan termasuk meminta supaya Ahli Parlimen Hulu Langat itu duduk.

“Kamu duduk. Ini nampak ini. Orang yang tidak ikut peraturan. Hari ini saya tidak akan bertolak ansur,” tegasnya.

Mohd Sany kemudian membalas dengan gelaran ‘penyangak’ beberapa kali selain juga sempat membidas Mohd Hasnizan kerana sanggup bersengkongkol dengan dengan Shahidan.

“Perompak, penyangak. Bahasa Arau ini memang guna bahasa yang tak baik. Orang Selangor memang tak boleh terima orang sebegini.

“Cakap orang penyamun, siapa penyamun? Awak berkawan dengan penyamun. Kes Jana Wibawa awak tunggu. Cakap elok-eloklah sikit.

“Tak ada bahasa, tak ada adab. Dah tua tapi perangai teruk,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya mencelah dengan mengarahkan Ahli Parlimen Hulu Langat itu duduk.

Dalam pada itu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) bangun dan membaca peraturan dewan 35 (1) iaitu seseorang ahli apabila ingin bercakap hendaklah bangun apabila dipanggil atau diberi laluan oleh pembahas.

Beliau turut menegaskan, Mohd Sany bukan kali pertama berbuat seperti itu di dalam Dewan Rakyat sebaliknya telah bertindak sedemikian berulang kali.

“Sudah berkali-kali. Saya ingin Yang Dipertua (Tan Sri Johari Abdul) ambil tindakan sebaiknya supaya kita menjaga keharmonian Parlimen ini,” katanya.

Johari kemudiannya mengambil maklum dan menambah masa perbahasan Shahidan selama dua minit. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast