KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa supaya mempertimbangkan semula keputusan untuk membatalkan Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak bagi yang telah berkhidmat lebih 15 tahun.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, tindakan drastik tersebut menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri tersebut tidak menghargai sumbangan kakitangan kontrak yang telah bertungkus lumus selama ini.
“Perkara ini amat mendukacitakan CUEPACS dan seluruh warga perkhidmatan awam di Selangor apabila Kerajaan Negeri membuat keputusan yang begitu drastik,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, lebih mengecewakan apabila kerajaan negeri berkenaan memanjangkan pembatalan tersebut kepada semua pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta merta.
Katanya, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum ini telah memutuskan bahawa pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan (Contract of Service) yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016 tertakluk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Surat edaran JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap telah diedarkan kepada semua kementerian dan kerajaan negeri.
Adnan berpendirian bahawa penjawat awam taraf kontrak sepatutnya menerima penghargaan setimpal selepas berkhidmat bertahun-tahun lamanya.
“Cuepacs kecewa dan kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang membatalkan dengan serta merta Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun seperti yang telah diputuskan sebelum ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette