Yahaya Othman

KUANTAN – Dua individu kerugian hampir RM200,000 akibat terpedaya dengan dakwaan scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai syarikat kurier.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, dalam kejadian di Temerloh, mangsa yang seorang lelaki berumur 67 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 5 Jun 2023.

“Semasa perbualan, suspek telah menyatakan bahawa mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad ATM dan kad pengenalan.

“Menurut suspek hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan pengubalan wang haram,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Yahaya, mangsa berasa takut mengikut arahan suspek dengan memindahkan RM 100,000 daripada Kumpulan Wang Simpinan Pekerja (KWSP) ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek bagi menyelesaikan kes itu.

Sementara itu, dalam kejadian di Kuantan, beliau berkata, seorang lelaki berumur 32 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai syarikat kurier pada 1 Januari 2023.

Jelasnya, suspek mendakwa mangsa yang bekerja sebagai penjawat awam telah digunakan dalam penghantaran bahan terlarang iaitu tiga keping kad pengenalan, tiga kad ATM serta tiga keping sim kad  ke Perlis.

“Kemudian panggilan tersebut telah disambung ke pihak polis dan mahkamah. Mangsa telah diminta untuk membuat pinjaman peribadi dan wang tersebut dipindahkan ke satu akaun Juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

“Bermula 14 April 2023 mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM95,200 ke dalam empat akaun yang berbeza,” katanya.

Tahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Orang ramai diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.MalaysiaGazette