ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Lima warga tempatan dan seorang wanita China yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian menggunakan akaun palsu dan menawarkan pelaburan saham tidak wujud ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di sini, semalam.

Sindiket ini mensasarkan mangsa warga China, kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Sindiket ini menggunakan akaun-akaun palsu Snowball Finance (Xueqiu) untuk mencari mangsa di negara China seterusnya menawarkan pelaburan atas talian.

“Xueqiu adalah sebuah laman web iaitu https://xueqiu.com yang merupakan antara rangkaian sosial kewangan paling popular dalam kalangan pelabur di negara China,” tambahnya.

Polis turut merampas sebanyak 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat unit komputer riba, dua unit router internet dan satu set kunci rumah rumah berkenaan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan penipuan.

Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 38 tahun dibawa ke Mahkamah Kajang untuk direman. – MalaysiaGazette