Thinalan T. Rajagopalu

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivaraj yang didakwa dipecat jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC tidak sepatutnya mengkritik parti yang meletakkan beliau pada kedudukan sekarang.

Ketua Penerangan MIC, R Thinalan berkata, kenyataan oleh bekas Ketua Pemuda itu telah mengguris rata-rata ahli dalam parti MIC kononnya mempunyai ‘isu imej’ ketika ini.

“Sebenarnya saya tidak faham langsung apa yang Sivaraj cuba sampaikan ini, mengapa sekarang beliau mahu buka mulut tentang imej parti? Hanya selepas beliau menjadi Ahli Dewan Negara, selain jawatan dalam MITRA ketika ini?

“Sebelum ini, dalam beberapa pilihan raya beliau telah diberikan peluang untuk bertanding. Walaupun kalah dalam pertandingan parti bagi jawatan naib presiden, presiden kita, Tan Sri SA Vigneswaran masih melantik beliau ke dalam CWC.

“Ketika itu tidakkah Sivaraj nampak isu imej ini? Mengapa tidak tolak semua peluang dan jawatan-jawatan ini dan tampil membantu menaikkan imej parti sebagai ahli biasa sahaja? Mengapa hanya selepas ‘disingkir’ dari jawatan CWC, barulah lantang bersuara?,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Semalam, viral surat yang mengaitkan dengan pemecatan Sivaraj sebagai Ahli CWC dan ketika dihubungi beliau mengesahkan perkara itu namun mendakwa tidak pasti mengapakah dirinya dilucut dari jawatan tersebut.

Kata Thinalan lagi, presiden parti mempunyai kuasa untuk melantik atau mengeluarkan mana-mana individu pada bila-bila masa tanpa penjelasan.

“Ini juga pernah berlaku dalam parti UMNO sebelum ini. Sivaraj juga perlu ingat, walaupun anda bukan lagi ahli CWC, anda masih lagi seorang Ahli Dewan Negara iaitu satu jawatan yang dianugerahkan kepadanya melalui cadangan parti untuk seorang ahli parti.

“Bukankah dengan jawatan Senator anda masih lagi boleh terus berjuang untuk rakyat, bersuara dan menjaga kebajikan mereka?,” tegasnya.

MalaysiaGazette difahamkan oleh satu sumber tertinggi parti, Sivaraj telah dilucut sebagai ahli CWC kerana beliau tidak menghadiri program ‘Madani Government: Educational Development and Future of Indians’ di Shah Alam pada Sabtu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk makluman program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) dan Sivaraj adalah wakil MIC yang juga menjawat jawatan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas.

“Ada banyak rasa tidak puas hati dan tertanya dengan sikap serta tindak-tanduk beliau. Namun tidak ada apa-apa yang diperkatakan secara ‘terang-terangan’ kerana kita hendak menghadapi pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette