KUALA LUMPUR – Pas didakwa masih cuba mengelirukan rakyat dalam isu kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan kes Jill Ireland Lawrence Bill yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, hakikatnya, Kerajaan Perpaduan telah berulang kali menegaskan bahawa kalimah Allah adalah milik umat Islam sahaja dalam konteks Malaysia.
Menurut beliau, ia diperkukuhkan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan Mahkamah Persekutuan pada 2014 bahawa kalimah Allah hanya milik orang Islam.
“Jadi di mana kalimah Allah terancam?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO itu menambah, penarikan rayuan kes Jill Ireland adalah bagi menjaga kesucian kalimah Allah.
Beliau memberitahu, kekalahan kerajaan dalam kes di Mahkamah Tinggi adalah berpunca daripada kelemahan pada Arahan Pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang digunakan sebagai rujukan untuk merampas cakera padat yang memaparkan kalimah Allah.
“Justeru, Kerajaan Perpaduan sedang berusaha mengemas kini Arahan Pentadbiran tersebut agar tidak lagi berulang kes kerajaan dibawa ke mahkamah apabila penguatkuasaan kalimah Allah dilaksanakan oleh KDN.
“Kerajaan juga bersetuju bahawa cadangan kemas kini Arahan Pentadbiran itu akan dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, kemudian ke Majlis Raja-raja sebelum dibawa ke kabinet untuk disahkan.
“Tidakkah semua itu usaha yang teratur oleh Kerajaan Madani demi menjaga kesucian kalimah Allah?” soalnya.
Mohd Khairuddin berkata, kes Jill Ireland yang menang di Mahkamah Tinggi tidak boleh menjadi rujukan undang-undang mengatasi keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum itu yang telah menoktahkan bahawa kalimah Allah adalah milik khusus umat Islam.
Menurut beliau, sekiranya rayuan kes Jill Ireland itu dibawa ke Mahkamah Rayuan, kebarangkalian kerajaan kalah lagi terbuka luas kerana kelemahan pada Arahan Pentadbiran KDN.
“Ia akan membuka senario baru apabila kes rampasan cakera padat dari Indonesia bertulisan kalimah Allah ini menjadi keputusan pula di peringkat Mahkamah Rayuan.
“Ini yang cuba dielakkan oleh Kerajaan Madani. Semuanya demi menjaga kesucian kalimah Allah,” katanya.
Namun, Mohd Khairuddin mendakwa, Pas berterusan mengelirukan rakyat dalam isu tersebut termasuk melalui ceramah-ceramah mereka dengan tujuan menggambarkan Islam terancam dalam era Kerajaan Madani.
“Sebab itu juga naratif liberal dan sebagainya dicanang untuk matlamat kononnya Islam terancam sebagaimana 22 bulan sebelum ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette