PORT DICKSON – Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson memerlukan kemudahan infrastruktur yang dianggap kritikal bagi meningkatkan pelaburan dan menyegerakan proses pembangunannya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, infrastruktur tersebut merangkumi jalan raya, landasan kereta api serta elektrik, air dan gas.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan permohonan pembangunan infrastruktur khususnya dalam MVV 2.0 ,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.
Berhubung pembangunan MVV 2.0, Aminuddin memberitahu, inisiatif yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan NS (NS Corporation), jabatan dan agensi lain akan memberi impak ekonomi signifikan kepada negara menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta peluang perniagaan.
Sejak pelancaran MVV 2.0 pada 2018, perkembangan yang amat positif berlaku terhadap pelaksanaan pembangunan yang tertumpu di daerah Seremban dan Port Dickson seperti transaksi jual beli tanah dan kemasukan pelabur berpotensi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, turut dilancarkan pada tahun sama adalah Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) MVV 2.0 yang menterjemahkan pelan pembangunan keseluruhan, fokus pembangunan pemangkin atau katalis, aspirasi alam sekitar termasuk faedah ekonomi dan sosial.
“CDP ini berperanan sebagai rujukan dan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan pembangunan di kawasan MVV 2.0 dilaksanakan secara teratur dan inklusif serta memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya.
Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kemasukan para pelabur terutamanya pemain industri berteknologi tinggi.
Beliau menjelaskan, dasar itu menjadi kekuatan Kerajaan Negeri Sembilan dalam menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di kawasan MVV 2.0. – MalaysiaGazette