Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Dua sayap UMNO iaitu Pemuda dan Puteri diberi kepercayaan untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Melayu, sebagaimana disarankan Presidennya pada perhimpunan agung parti itu Sabtu lalu.

Kongres itu yang tarikhnya masih dalam peringkat penelitian diadakan bagi menghimpun isu berkaitan ekonomi orang Melayu.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, beliau berasa sangat teruja apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini membawa momentum lebih segar.

Kata beliau, rata-rata perwakilan yang hadir bertekad mahu bergerak ke hadapan dan membina kekuatan parti yang lebih baik.

“Dalam ucapan dasar presiden, saya ada mengumumkan bahawa satu Kongres Ekonomi Melayu akan diadakan bagi menghimpun isu-isu berkaitan ekonomi orang Melayu.

“Isu ini sangat dekat dengan orang Melayu yang memerlukan pendekatan, strategi, dasar, pelan, visi, tekad yang lebih segar bagi mendepani ekonomi Melayu dan negara secara keseluruhannya.

“Pentingnya ekonomi Melayu diberikan tumpuan kerana apa-apa jurang dan ketidaksamaan ekonomi akan turut menjejaskan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, hal itu kerana Melayu dan bumiputera merupakan kelompok etnik majoriti negara.

Katanya, jika isu ketaksamaan ekonomi berterusan tidak ditangani secara menyeluruh ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara keseluruhan kerana pada 2021 Melayu dan Bumiputera mewakili sekitar 69.7 peratus populasi negara.

“Maka Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan oleh sayap Pemuda dan Puteri UMNO adalah satu manifestasi kepercayaan kepada pelapis kepimpinan muda sebagai bakal pemimpin negara pada masa akan datang.

“Saya juga telah meminta Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memantau perkara ini.

“Daripada kongres ekonomi tersebut saya berharap akan wujud sebuah resolusi untuk penambaihbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh,” ujar beliau.

Ahmad Zahid mengharapkan pelbagai idea baharu dan di luar kotak digarap bagi mempertingkatkan kekuatan ekonomi Melayu serta menangani ketaksamaan tersebut.

Katanya, resolusi dan pelan ekonomi itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan.

Jelas beliau lagi, dengan suasana ekonomi baharu dan tidak menentu akibat perubahan iklim dan geo-politik dunia suatu persediaan lebih rapi yang bakal menjadi game-changer kepada peningkatan ekonomi Melayu dan negara.

“Pada masa sama, quick-wins untuk menangani ekonomi semasa juga perlu diambil kira agar pelan jangka pendek, sederhana dan panjang dapat direkayasakan untuk rakyat.

“Kita perlu sedar meskipun negara berjaya mengurangkan kemiskinan dan jurang ekonomi selepas pelaksanaan DEB, namun jurang kekayaan masih tinggi. Kadar kemiskinan negara ialah 5.6 peratus, manakala bandar 3.8 peratus, di luar bandar 12.4 peratus (2019).

“Begitu juga jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Purata pendapatan negara ialah RM7,901, manakala bandar RM8,635, di luar bandar pula sebanyak RM5,004 (2019),” katanya.

Beliau berkata, jurang kemiskinan perlu ditangani bagi mengelak ketidakstabilan ekonomi, politik dan sosial.

“Jurang ekonomi yang tinggi diikuti literasi politik yang rendah akan mewujudkan kelompok Trumpism di Amerika Syarikat atau munculnya golongan politik memperalatkan golongan mangsa jurang ketaksamaan dengan retorik agama dan etnik.

“Sedangkan ia perlu ditangani dengan dasar ekonomi yang lebih efisien,” katanya. – MalaysiaGazette