Foto hiasan

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Selangor sudah bersiap siaga bagi menghadapi kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Julai ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan membuat persiapan rapi kerana negeri ini mempunyai paling banyak lokasi kawasan panas pada PRN nanti.

“Polis Selangor pastinya akan bersiap sedia terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai persaingan sengit.

“Kkita akan memberi tumpuan lebih di kawasan wakil Dewan Undangan Negeri yang mempunyai tahap keseimbangan kaum bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” kata beliau dalam sidang media sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai persiapan PRN.

Beliau berkata demikian selepas hadir Program Kesedaran Autisme anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan PDRM mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terlibat dengan PRN.

Menurut beliau, Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang.- MalaysiaGazette