KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyelesaikan isu penyelarasan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlarutan hampir 10 tahun.
Ahli Parlimen Ketereh Datuk Khlir Mohd Nor (PNl) berkata, jumlah penyelarasan pencen khas bagi veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 kurang sehingga 36 peratus berbanding yang bersara selepas tempoh berkenaan.
“Pencen ini sebenarnya adalah hak veteran ATM, yang mana perlu dibayar diselaraskan oleh kerajaan mengikut Akta ATM 1972.
“Veteran ATM tidak mahu pingat, tidak mahu apa-apa sanjungan, saya mengharapkan kerajaan fikirlah, kalau ditunggu makin lama makin banyak nak diselesaikan makin banyak duit nak digunakan. Kalau diselesaikan 2013 dulu mungkin jumlahnya sedikit tapi tidak ada satu menteri pun yang mahu menyelesaikan masalah ini maka ia berlanjutan sehingga sekarang,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.
Terdahulu katanya, dianggarkan seramai 78,000 veteran ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 menuntut penyelarasan berkenaan.
Katanya alasan untuk tidak membincangkan isu ini di Dewan Rakyat kerana ianya berkaitan dengan isu di mahkamah adalah tidak munasabah.
“Masalah mahkamah masalah lain sekarang ini berkaitan dengan hak veteran ATM,” ujar beliau.
Pada tahun lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa 2.0 peratus kenaikan Pencen tahunan itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan (unconstitutional) dan terbatal.- MalaysiaGazette