PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan untuk pasport antarabangsa Datin Seri Rosmah Mansor dipulangkan sementara bagi melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Najib di Singapura.
Keputusan sebulat suara oleh tiga panel hakim dipengerusikan oleh Datuk Ravinthran Paramaguru yang telah membenarkan pemulangan pasport pemohon selama tiga minggu bermula hari ini.
Pasukan pendakwaan juga tidak membantah selepas hujah dikemukakan oleh peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh pada prosiding hari ini.
Ravinthran memutuskan pasport akan dikeluarkan untuk Rosmah ke Singapura antara hari ini, 15 Jun sehingga 7 Julai depan.
Sebelum ini, dilaporkan Rosmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon mendapatkan sementara dokumen perjalanan selama dari 6 Jun sehingga 7 Julai ini iaitu kira-kira empat minggu.
Mahkamah sebelum ini telah membenarkan Rosmah mendapatkan sementara pasportnya dua kali yang bertujuan untuk melawat Nooryana yang bersalin anak kedua dan ketika cucu lelakinya tidak sihat.
Untuk makluman, Nooryana berkahwin dengan warganegara Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan mereka kini sedang menetap di Singapura.
Ketika ini, Rosmah sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lalu yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohamed Zaini Mazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Beliau juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, tetapi membenarkan permohonannnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini. -MalaysiaGazette