Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas perasmian Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai, Lebuhraya SUKE Fasa 2, Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 15 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka di 12 lebuh raya  bakal bermula pada September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem berkenaan akan dilaksanakan di semua lorong tol yang terlibat secara berperingkat-peringkat.

“Sistem ini diperkenalkan sebagai salah satu usaha dan inisiatif kerajaan yang komited dalam peralihan ke arah pelaksanaan sistem kutipan secara Multi-Lane Fast Sloe (MLFF) secara berperingkat-peringkat menjelang akhir 2024,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Plaza Tol Alam Damai.

Antara lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE); Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA); Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu turut terlibat Lebuhraya Butterworth -Kulim (BKE); Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP); Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT); Lebuhraya Shah Alam (KESAS): Terowong SMART; Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta – Ulu Klang (DUKE).

Dengan pembayaran tol terbuka itu bermakna, pelanggan boleh menggunakan kad debit atau kad kredit, selain kad Touch ‘N Go.

Sistem pembayaran tol terbuka ini pada dasarnya memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain daripada menggalakkan kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.- MalaysiaGazette