Axia E

KUALA LUMPUR – Perodua memperkenalkan Axia E dengan harga RM22,000 (tanpa insurans) dan disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah.

Varian ini adalah berdasarkan model Perodua Axia yang diperkenalkan pada 2017 dan ia diperakui dengan penarafan 4-bintang Asean NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal kami untuk menyediakan mobiliti yang mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia.

Perodua Axia E bertransmisi manual ini didatangkan dengan dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan jaminan selama lima tahun.

Terdapat tiga pilihan warna yang dtawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver dan warna baharu -Granite Grey.

Sejak dilancarkan pada 2014 hingga 31 Mei 2023, Perodua telah merekodkan pendaftaran sebanyak 606,756 unit model Axia, termasuk Axia serba baharu yang dilancarkan pada Februari 2023.

Zainal berkata Perodua menyasar untuk menjual sehingga 1,500 unit sebulan, termasuk pemilikan individu dan jualan korporat.

“Walaupun kami tidak menentukan siapa pelanggan kami, kami percaya model ini menjadi pilihan yang dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia.

Perodua Axia E telah diuji dan terbukti dalam pasaran selama bertahun-tahun dan  percaya varian ini akan memenuhi peranan semasanya untuk memberi peluang kepada pemilik motosikal bagi memiliki kereta baharu.

“Berdasarkan perbincangan kami dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kami mendapati hanya RM300 diperlukan untuk membayar kos sewa beli setiap bulan untuk memiliki Axia E. Ini adalah kos yang sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu secara sewa beli,” katanya. – MalaysiaGazette