Da'i Syed dan isteri gemar berkongsi video menari di media sosial.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, PU Syed  menegur rakan seperjuangan iaitu Da’i Syed supaya dapat menjaga akhlak dan nama baik sebagai golongan yang menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat.

PU Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, pendakwah selebriti berusia 28 tahun itu tidak sepatutnya berkongsi video yang kerap memaparkan aksi menari bersama isterinya Hana Ismail kepada umum.

“Saya nasihat agar jagalah status kita membawa gelaran agamawan yang menyampaikan tazkirah dan peringatan kepada masyarakat.  Atau mungkin kamu rasa kamu artis, tapi jagalah kita punya akhlak.

“Tak perlu kita menunjuk sangat isteri walaupun isteri kamu tu seorang dikenali, tapi alangkah bagusnya kalau tiada video atau konten berjoget-joget di media sosial,” katanya.

Beliau memberi teguran secara terbuka itu menerusi satu hantaran berbentuk video di laman Instagram miliknya.

Sementara itu, PU Syed menjelaskan, tindakan berkongsi adegan ‘mesra’ tersebut secara tidak langsung boleh mengundang persepsi buruk orang ramai terhadap golongan asatizah (ustaz dan ustazah).

“Mungkin ada yang mengatakan kenapa ustaz macam ni, berjoget-joget dalam media sosial. Ni satu fitnah yang kadang-kadang dapat kepada para asatizah.

“Asatizah ni ada pakaian, mungkin kita nak jadi munafik, menyamar baik depan orang, tidak. Maksudnya ada perbezaan kita dengan orang awam.

“Jadi saya nasihatkan, moga kita dapatlah berubah jadi lebih hebat lagi dengan menjaga adab serta tatasusila sebagai golongan pendakwah agar tak terpalit fitnah,” ujarya.

Dalam masa sama, dia berharap netizen dapat membezakan antara dirinya dan Da’i Syed oleh kerana mereka mempunyai awalan nama serupa, tetapi dari program realiti dakwah yang berbeza.

Sebelum ini, Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful memaklumkan, dia sekadar mahu mencipta banyak kenangan bersama isteri sekali gus dapat mengelak fitnah kononnya bergaduh atau sebagainya. – MalaysiaGazette