Kok Chin memeriksa barisan kawat kawalan sempena lawatan kerja di IPD Timur Laut hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 38 individu termasuk empat wanita yang terlibat dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ah long diberkas dalam operasi khas yang dijalankan Polis Pulau Pinang sejak 5 Jun lalu.

Ia bagi membanteras sindiket ah long yang beroperasi di negeri ini sekali gus membantu siasatan berhubung sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah yang diterima Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin pada 1 Jun lalu.

Kok Chin berkata, tangkapan ke atas 38 suspek itu membabitkan beberapa serbuan di utara tanah air termasuk Pulau Pinang.

“Rata-rata yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 72 tahun dan mereka ini didapati terlibat dalam kegiatan ah long termasuk ada yang menjadi keldai akaun kepada sindiket ini agar pinjaman dibayar ke akaun berkenaan.

“Selain itu, ada juga tangkapan membabitkan mereka yang terlibat dalam kes sebelum ini yang mana siasatan telah dibuka,” katanya hari ini.

Terdahulu, Kok Chin mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. Ini merupakan lawatan kerja ketiga beliau selepas lawatan kerja di IPD Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada suspek yang terlibat dalam kes ugutan terhadap beliau turut ditahan dalam operasi terbabit, Kok Chin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penglibatan suspek yang ditahan.

“Kita masih siasat sama ada suspek yang diberkas dalam tangkapan kali ini terlibat atau tidak dalam kes ugutan terhadap saya.

“Bagaimanapun, operasi kali ini untuk membanteras kegiatan ah long di negeri ini sehabis boleh,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini melancarkan operasi besar-besaran bagi memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Ahlong.

Seramai 112 pegawai dan anggota yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terlibat dalam operasi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast