TVET BMT
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2023 melambangkan komitmen Kerajaan Malaysia Madani untuk menyokong kehidupan pekebun kecil dan penoreh getah bagi mengatasi cabaran kewangan semasa musim tengkujuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan mengharapkan pekebun kecil dan penoreh getah mendapat manfaat sepenuhnya menerusi program itu.

Menurut beliau, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah membuka permohonan dan pengemaskinian BMT 2023.

“Di bawah BMT 2023, peruntukan keseluruhan sebanyak RM256 juta telah diluluskan dalam Bajet 2023 dan program ini memberi manfaat kepada 232,427 orang pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah RISDA dan 86,323 pekebun kecil getah di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dengan nilai RM800 seorang.

“BMT disampaikan kepada pemilik kebun getah kecil yang menguruskan kebun sendiri atau pemilik kebun yang menjadi ahli Projek Tanam Semula Berkumpulan layak menerima bantuan ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberitahu, kategori penoreh getah yang bergantung pada penorehan getah sebagai pekerjaan utama dan tidak memiliki tanah kebun getah juga termasuk dalam senarai penerima bantuan ini.

“Selain itu, individu yang berdaftar dengan RISDA dan berada dalam Sistem Pembangunan Pekebun Kecil (e-SPeK) juga layak menerima bantuan ini,” jelasnya.

Pemohon boleh memohon atau mengemas kini BMT 2023 melalui portal pekebunkecilrisda.gov.my dengan menyertakan dokumen sokongan sepertimana yang dinyatakan dalam syarat permohonan bermula 15 Jun hingga 15 September ini. – MalaysiaGazette