KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah berjaya mematahkan cuban menyeludup minuman keras tidak membayar cukai dan duti import bernilai RM1.170 juta di Pelabuhan Klang.
Ia ekoran penahanan dua kontena bersaiz 40 kaki yang ditahan pihaknya baru-baru ini, kata Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Wong Pun Sian.
Dalam kes pertama pada 26 Mei lalu, lebih kurang 8 malam, pasukan Operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) menahan satu kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara.
Hasil pemeriksaan berjaya menemui sejumlah minuman keras berjumlah 26,160 liter dengan anggaran nilai sebanyak RM111,120 membabitkan jumlah cukai dan duti yang terlibat dianggarkan berjumlah RM793,030.
“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut bersama wakil perkapalan menemukan minuman keras disyaki tidak berkastam berjenama Spark Beer Extra Strong berwarna hitam dan biru, di mana pengimportannya memerlukan lesen import, pembayaran cukai dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Berdasarkan maklumat di dalam Bill of Lading dan Borang Kastam 1, dagangan tersebut diikrarkan sebagai households dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan
tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Pun Sian, minuman keras tersebut disorok di bahagian belakang muatan kontena dan bahagian hadapan diletakkan kotak polyfoam bagi mengaburi pihak kastam dan ia adalah modus operandi sindiket yang dipercayai sering digunakan terhadap kontena yang membawa dagangan terlarang untuk memasuki pintu pelabuhan negara.
Jelasnya, susulan daripada penahanan kontena ini, seorang wakil perkapalan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan lanjut.
Siasatan diteruskan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya, katanya.
Dalam pada itu, dalam kes kedua pada 31 Mei lalu, pasukan sama telah menahan sebuah lagi kontena bersaiz 40 kaki agak mencurigakan di pelabuhan yang sama.
“Pemeriksaan di dalam membawa kepada rampasan minuman keras berjumlah 12,616.20 liter dengan anggaran bernilai RM93,940 membabitkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM172,505.
“Siasatan lanjut menemukan minuman keras disyaki tidak berkastam berjenama Tsingtao dan Demailong di mana pengimportannya memerlukan lesen import, pembayaran cukai dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Malah, berdasarkan maklumat di dalam Bill of Lading dan Borang Kastam 1, dagangan tersebut diikrarkan sebagai fishing accessories (fake bait) dari negara jiran dan wakil perkapalan telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.
“Justeru, berdasarkan sumber risikan pasukan, modus operandi yang digunakan adalah cuba berselindung di sebalik pengikraran barangan sukan atau hobi dan akan membayar cukai berdasarkan kod tarif terlibat selain pengimport dagangan ini akan sentiasa bertukar agen penghantaran agar aktiviti pengimportan minuman keras ini sukar dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Tegas beliau lagi, susulan penahanan minuman keras itu, seorang wakil perkapalan telah dipanggil untuk membantu siasatan lanjut dan selesai diambil keterangannya.
“Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 1967 atas kesalahan menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette