Tangkap layar menunjukkan pemandu sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah (strobe light) dalam kejadian di Kilometer 136.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tengah, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza ditahan susulan menggunakan lampu mata arah (strobe light) dalam kejadian di Kilometer 136.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tengah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pukul 6.18 petang di Bukit Mertajam.

“Polis mengesan satu rakaman video yang dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Thai Khor’ pukul 4.20 petang semalam memaparkan sebuah kenderaan menggunakan lampu mata arah di lokasi berkenaan namun tarikh serta masa tidak dapat dipastikan.

“Susulan itu, kita berjaya mengesan dan menahan pekerja swasta tersebut selain merampas satu set lampu mata arah yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemandu itu telah disiasat dan saman juga dikeluarkan di bawah Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Tambah Cheng San, mana-mana pemilik kenderaan yang mengubah suai dan menggunakan lampu mata arah pada kenderaan persendirian adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Terdahulu tular rakaman video menunjukkan kenderaan tersebut didapati telah menggunakan lampu mata arah biru di bahagian cermin hadapan di atas dashboard.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, berdasarkan Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 penggunaan strobe light atau beacon hanya dibenarkan untuk kenderaan dalam tugas kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kenderaan kastam, kenderaan polis, kenderaan penjara dan kenderaan JPJ sahaja. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Terlalu teringin nak jadi Polis..Masa dulu mohon tapi kena rehat sebab perangai ,lagak macam samseng. Rupa rupanya betul bila tak jadi polis baru keluar warna asal bukan manusia tetapi gorila yg baru keluar hutan.

Comments are closed.