KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis ditangkap selepas mendapati disyaki memandu kereta dalam keadaan mabuk dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota penguat kuasa yang menahannya di Jalan Cheras semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam lebih kurang pukul 4.10 pagi selepas Unit Kereta Peronda (MPV) polis ternampak suspek yang difahamkan berpangkat inspektor memandu keretanya secara lawan arus di jalan raya.
Anggota peronda dipercayai telah mengejar sebelum berjaya menahan kenderaan suspek di di persimpangan lampu isyarat menuju ke Flat Sri Sabah.
Selepas ditahan, lelaki tempatan berusia 35 tahun didapati telah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Malah suspek didapati enggan memberi kerjasama kepada anggota untuk pemeriksaan dan bertindak mengasari anggota polis dengan menunjukkan isyarat lucah di lokasi kejadian sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian dan penahanan pegawai polis berkenaan.
Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Suspek juga sedang disiasat di bawah 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. – MalaysiaGazette