Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis yang ditahan di Cheras kerana memandu lawan arus di bawah pengaruh alkohol dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis yang membuat pemeriksaan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, individu seorang warga tempatan berusia 35 tahun itu telah selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan dan dijamin polis sementara siasatan diteruskan.

“Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis (selepas rakam percakapan) pada 16 Jun 2023 (semalam),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.

Pada Khamis lalu, semasa anggota polis menjalankan tugas di Jalan Cheras berhampiran lampu isyarat TNB Pudu Ulu menghala ke Maluri telah melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna perak dipandu secara melawan arus.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai polis disyaki mabuk, tunjuk isyarat lucah dicekup

“Polis telah mengejar dan berjaya menahan kereta tersebut di lampu isyarat persimpangan menghala ke Flat Sri Sabah. Hasil semakan mendapati, kereta tersebut dipandu oleh seorang lelaki warganegara berumur 35 tahun yang bekerja sebagai penjawat awam dalam keadaan mabuk.

“Suspek menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis semasa pemeriksaan lanjut dilakukan,” kata Zam Halim.

Tegasnya, suspek tidak memberikan kerjasama dan telah berlaku pergelutan semasa tangkapan dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Sekyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Cheras menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” ujarnya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.-MalaysiaGazette