SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan pengagihan kerusi di enam negeri dalam mesyuarat tertinggi gabungan parti pada 22 Jun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas itu semua parti perlu menyerahkan senarai nama calon yang bertanding dan menjalankan gerak kerja jentera di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang.
Pimpinan parti akan meneliti senarai calon mengikut kelayakan dan kriteria yang ditetapkan untuk ditempatkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Kerjasama antara parti gabung dalam PN setakat ini amat baik sekali. Masing-masing memberi kerjasama sama ada pengagihan kerusi dan jentera,” kata kepada pemberita selepas Himpunan Pelancaran Jentera PN di sini petang ini.
Muhyiddin yakin dengan gelombang anak muda hari ini akan memberi kemenangan kepada PN termasuk Selangor, negeri yang menjadi kubu kuat PH. – MalaysiaGazette