KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kematian seorang suspek kes pengubahan wang haram pada Khamis lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu tersebut meninggal dunia di hospital selepas didapati sakit.
“Tidak ada isu saya campur tangan kerana saya sudah serahkan kepada polis untuk menyiasat dan maklumkan sebab-sebab kematian individu berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Serdang hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan seorang suspek yang ditahan SPRM dalam operasi membongkar kegiatan perlombongan bijih haram di Raub disahkan meninggal dunia, pagi hari sama.
Ia disahkan oleh Azam apabila berkata, lelaki yang ditahan bersama tiga suspek berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan perlombongan haram, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Azam menjelaskan, pegawainya mendapati lelaki itu seperti tidak sihat ketika siasatan sebelum terus dibawa ke hospital dengan segera.
Beliau dilapor berkata, pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan itu akan memberikan keterangan kepada polis berhubung kejadian tersebut.
“SPRM telah menyerahkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan siasatan polis,” ujarnya.
Difahamkan, tiga termasuk penjawat awam ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perlombongan haram serta pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.8 juta di Raub, Pahang. – MalaysiaGazette