BAYAN LEPAS – Seorang wanita berstatus orang berkelainan upaya (OKU) ditahan polis selepas didapati merosakkan patung serta kain rentang sebuah premis pakaian di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas wanita berusia 26 tahun itu dibuat susulan menerima laporan daripada pembantu premis pakaian tersebut pukul 5.50 petang hari yang sama.
“Berdasarkan laporan, pengadu mendakwa wanita itu membuat bising di hadapan premis sebelum tiba-tiba memukul dan menendang patung serta kain rentang menggunakan skateboard di dalam premis.
“Susulan itu, kita menahan wanita berkenaan selain merampas skateboard yang digunakan untuk merosakkan patung berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut, keluarga wanita itu menetap di Cameron Highlands, Pahang dan mak ciknya memaklumkan dia mempunyai masalah kesihatan selain OKU kategori terencat akal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, wanita itu dihantar ke Hopsital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mempunyai masalah psikiatri.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat memaparkan seorang wanita memakai baju warna putih serta berseluar pendek mengamuk selain merosakkan patung di sebuah premis pakaian di sebuah pusat beli belah. – MalaysiaGazette