Anwar Ibrahim.-Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya mahasiswa yang menjalani latihan industri atau ‘intern’ mendapat bayaran yang mencukupi.

Menurut Anwar, bayaran itu seharusnya melegakan mahasiswa yang terpaksa mengeluarkan wang untuk kos perjalanan dan makan minum sepanjang mereka melakukan latihan industri.

Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa perkara itu ke pengetahuan pihak industri dalam pertemuan esok.

“Esok saya ada perbincangan dengan pelabur-pelabur di Bursa Saham dan Suruhajaya Sekuriti mungkin saya akan bawa isu ini.

“Dan minta supaya syarikat-syarikat digalak mengambil intern dan tidak dibayar sebagai gaji atau separuh gaji, sekurangnya bayarlah mencukupi supaya (kos) perjalanan, makan mereka itu ditanggung walaupun namanya intern,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Anwar di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.

Seorang mahasiswa bertanya pandangan Anwar mengenai isu syarikat yang tidak mahu membayar upah kepada pelajar yang menjalani latihan industri walaupun terpaksa melakukan tugas sebagai seorang pekerja sepenuh masa.

“Intern ini maknanya apa? Maknanya syarikat atau industri pilih untuk mendapatkan sukarelawan datang diberikan pendedahan (pekerjaan).

“Prinsip intern itu tidak ada elaun atau bayaran. Adakah ini adil? Saya rasa tidak adil.

“Sebab itu bila saya ambil intern di Pejabat Ketua Pembangkang dulu di Parlimen kita bayar. Tidak terlalu tinggi tapi sekurang-kurangnya makan minum dia, perjalanan dia ada sikit elaun,” kata Anwar.

Seorang pelajar universiti awam sebelum ini meluahkan kebimbangannya untuk bertahan sepanjang menjalani latihan praktikal pada Oktober ini.

Menurut laporan media, pelajar wanita itu menyifatkan mereka bukan buruh percuma dan memaklumkan terdapat latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil malah ada yang tidak memberi elaun langsung.

Pelajar jurusan pengajian antarabangsa dan strategik itu juga dilaporkan menyuarakan bantahannya dengan membawa sepanduk tertera “intern bukan buruh percuma” di sekitar kampusnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast