Tajuddin Abdul Rahman. Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun diberikan tempoh seminggu untuk memohon maaf kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin berkata, Khairul Azwan telah memfitnah apabila mendakwa dirinya telah mensabotaj kempen bahagian itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

“Saya telah melantik peguam untuk menulis surat kepada Azwan Bro (Khairul Azwan) dan kita beri tempoh seminggu buat kenyataan maaf secara terbuka.

“Dalam tempoh itu tidak tarik kenyataan dan minta maaf, saya akan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang iaitu saman beliau,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau juga akan membuat aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Tajuddin menegaskan, fitnah merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh di terima oleh UMNO.

“Pihak Lembaga Disiplin mesti mengambil tindakan terhadapnya dan kita sedia kemukakan bukti,” katanya.

Tajuddin menafikan pernah bertindak untuk mensabotaj parti seperti yang didakwa malah beliau turut berusaha membantu parti sepanjang tempoh berkempen bagi memenangkan calon BN.

Beliau berkata, ramai yang menjadi saksi apa yang beliau telah lakukan sepanjang 14 hari berkempen dengan pergi ke pelosok kampung dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Malah menurut Tajuddin, beliau secara peribadi telah membelanjakan lebih RM1 juta bagi melancarkan jentera pilihan raya UMNO.

“Apabila kalah, dia salahkan saya, cakap tidak sokong. Ini satu fitnah,” katanya.

Sebelum ini Khairul Azwan dilaporkan berkata, beliau mahu MKT UMNO untuk tidak menerima rayuan penggantungan keahlian Tajuddin.

Beliau mendakwa bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berterusan memburukkan kepimpinan parti.

Tajuddin pada 9 Jun lalu mendedahkan sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya namun dipandang sepi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast