KUANTAN – Sebanyak 52 pasukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser 2023 pada tahun ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata daripada jumlah itu penyertaan daripada peserta antarabangsa mendominasi acara berkenaan seramai 32 pasukan.
Peserta antarabangsa terdiri daripada 13 negara antaranya, Thailand, Singapura, Filipina, Taiwan, Sri Lanka, Kemboja, Vietnam, India, China, Jordan, Iran, Yaman dan Libya.
”Daripada 52, seramai 26 pasukan terdiri daripada orang tempatan menyertai Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser 2023.
”Manakala acara fotografi membabitkan 90 peserta dari juga menyertai acara tahunan yang tersenarai didalam kalendar pelancongan Negara dan Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Yu Man, acara berkenaan sebenarnya merupakan satu pertandingan santai berkonsepkan explorace.
Setiap pasukan terdiri daripada tiga orang peserta yang akan mencari, mengenai, dan mencatatkan seberapa banyak spesis burung yang ditemui di kawasan yang ditetapkan.
Objektif utama acara yang diadakan adalah bagi memperkenalkan aktiviti bird watching serta mempromosi Bukit Fraser sebagai salah satu lokasi utama kegiatan itu di Malaysia.
Jelas Yu Man, setiap kumpulan akan dibekalkan buku log dan buku maklumat burung. Masa yang diperuntukkan bagi pertandingan ini adalah selama 24 jam.
“Pasukan yang berjaya mencatat jumlah spesis burung paling banyak akan dinobatkan sebagai pemenang. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Advance dan Novice dan diadili oleh para penimbang tara iaitu Arbitrator yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini,” katanya.
Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui agensinya, Tourism Pahang dengan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia, Tourism Malaysia, Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Birdlife International.
Dianggarkan sebanyak lebih 250 spesis burung yang telah direkodkan pernah berada di Bukit Fraser termasuk burung migrasi. – MalaysiaGazette