Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menunjukkan Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor selepas bercakap kepada media mengenai 5 tahun pentadbiran Pakatan Harapan ketika di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN 19 JUN 2023.

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 23 Jun ini.

Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang media khas Menteri Besar sempena lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Foyer SUK, bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, pada jam 10 pagi ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menandatangani Proklamasi Pembubaran DUN Selangor ke-14 yang akan berkuatkuasa Jumaat ini.

Ini jelas beliau, selaras dengan peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Ini akan membolehkan Speaker Dewan Negeri Selangor untuk memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kemudian memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Saya menjungjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar calon PRN Selangor tidak memainkan isu berkait dengan agama, perkauman dan perkara sensitif yang boleh merosakkan keharmonian serta perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga menitahkan bahawa baginda akan berangkat menunaikan fardu haji pada esok, 20 Jun.

“Patik mewakili sekalian rakyat Selangor mendoakan agar Tuanku dianugerahkan haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan serta semoga Allah terus menganugerahkan Tuanku keafiatan, keberkatan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata, hari ini merupakan genapnya lima tahun beliau sebagai Menteri Besar Selangor sejak pentadbiran kerajaan negeri ditubuhkan serta ulang tahun kelima diberi amanah sebagai Menteri Besar Selangor. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sultan Sharafuddin perkenan bubar DUN Selangor Jumaat ini