TELUK KUMBAR – Tindakan seorang lelaki joli wang jaminan milik orang lain dengan bermain judi dan membayar hutang membawa padah selepas dia ditahan polis di Sungai Batu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 35 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada 12 Jun lalu.
Berdasarkan laporan, wanita berkenaan mendakwa menyerahkan RM2,000 kepada suspek bagi menguruskan jaminan membebaskan dua anaknya yang ditahan polis berkaitan kes dadah.
“Bagaimanapun selepas dua anaknya bebas mereka mendakwa tiada wang perlu dibayar kepada pihak polis untuk dibebaskan sebelum mangsa rasa tertipu dan tampil membuat laporan.
“Susulan itu, kita menahan suspek pukul 4 petang semalam serta merampas telefon bimbit yang digunakannya bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette