sekularisme DAP
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini wajib menolak konsep Malaysian Malaysia dan sekularisme yang diperjuangkan DAP.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa sekiranya konsep itu diterima maka orang Melayu dan bumiputera akan senasib dengan kaum pribumi di negara lain.

“Konsep ini tidak boleh diterima pakai oleh orang Melayu dan bumiputera sampai bila-bila. Sebarang tindakan menerima konsep ini ibarat merelakan diri mereka untuk menjadi seperti kelompok Red Indian di Amerika Utara, Maori di New Zealand dan Bush People di Australia. Mereka telah dianaktirikan.

“Orang Melayu dan bumiputera ialah keturunan nusantara bangsa asal gugusan Kepulauan Melayu. Orang Melayu dan Bumiputera tidak akan sekali-kali menerima pakai konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP,” katanya.

Abdul Hadi berkata, ramai kalangan orang muda Melayu dan bumiputera kabur mengenai Malaysian Malaysia dan tidak arif tentang sejarah tanah air.

“Secara ringkasnya, slogan Malaysian Malaysia mula diuar-uarkan pada awal 60-an oleh mendiang Lee Kuan Yew dan rakan-rakannya di Singapura menerusi Malaysian Solidarity Convention yang dinaungi oleh beberapa buah parti politik.

“Tujuan mereka memperkenalkan konsep itu adalah bagi membantah Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyediakan pelbagai hak keistimewaan kepada orang Melayu dan bumiputera.

“Mereka berpendapat bukan Melayu yang telah diberikan kerakyatan juga berhak memiliki hak keistimewaan yang sama. Ini bererti kedudukan orang bukan Melayu adalah sama taraf dengan orang Melayu dan bumiputera.

“Dalam lain perkataan, semua bangsa, bahasa, agama dan budaya adalah sama,” kata Abdul Hadi.

Beliau menegaskan, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ini termasuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama Persekutuan, melindungi institusi Melayu, kuota pekerjaan dalam perkhidmatan awam, kuota biasiswa untuk pendidikan, lesen perniagaan dan lain-lain.

“Selepas Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, konsep Malaysian Malaysia terus diperjuangkan oleh DAP, parti serpihan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura sehingga sekarang.

“Itulah sebabnya orang Melayu dan bumiputera sekarang secara terus-menerus menolak konsep ini yang bakal melenyapkan ketuanan Melayu Islam, hak keistimewaan dan kelebihan mereka di bumi asal mereka,” kata beliau.

Abdul Hadi berkata, sebarang langkah untuk melaksanakan konsep yang sangat besar terhadap agama, umat Islam dan tanah airnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.