Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na'im Mokhtar bersama isterinya, Datin Nik Roslini Raja Ismail menunaikan haji pada musim 1444 Hijrah.

SEPANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar memilih untuk menaiki bas bersama dengan jemaah muassasah bagi menunaikan haji pada musim 1444 Hijrah.

Katanya, beliau ingin merasai pengalaman dan perkhidmatan yang disediakan Tabung Haji (TH) kepada jemaah sepanjang menunaikan rukun islam kelima itu.

“Dengan cara ini, saya boleh lalui pengalaman sebagai jemaah, kalau ada kesukaran sepanjang perkhidmatan ini saya dapat rasai dan nampak sendiri. Seeing is believing.

“Kalau perkhidmatan itu terbaik, saya boleh bercakap tanpa perlu menunggu laporan daripada TH sebab saya lalui depan mata sendiri dan saya juga boleh bertanya sendiri dengan jemaah yang lain,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar ditemui media pada Majlis Pelepasan 284 jemaah haji di Kompleks Haji Sepang, Pusat Konvensyen Movenpick, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan 284 jemaah haji di Kompleks Haji Sepang, Pusat Konvensyen Movenpick Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Difahamkan, Na’im bersama isterinya, Datin Nik Roslini Raja Ismail akan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH 8188 yang berlepas 4.10 petang hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah.

Mengulas mengenai perkembangaan jemaah haji Malaysia, Na’im berkata, setakat semalam, seramai 64 orang sedang menerima rawatan kesihatan di hospital TH dan hospital di Arab Saudi.

“Alhamdulilah, TH sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap jemaahnya dengan memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

“Kebanyakkan mereka yang dimasukkan ke hospital antaranya disebabkan jangkitan paru-paru dan juga keadaan cuaca panas di sana,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar beramah mesra bersama jemaah haji.

Sementara itu, Na’im juga menjelaskan, TH telah melaksanakan insiatif program pendidikan kesihatan kepada jemaah haji melalui Ziarah Rahmah.

Inisiatif baharu itu bertujuan memeriksa kesihatan jemaah haji dari bilik ke bilik di bangunan penginapan di Madinah dan Makkah yang akan dilakukan oleg petugas kesihatan TH.

“Ini adalah salah satu usaha TH dalam mencegah jangkitan penyakit dan menangani risiko kesihatan di kalangan jemaah haji kita dimana penyakit berkaitan sistem pernafasan sering berlaku pada setiap musim haji.

“Justeru itu, menerusi inisiatif tersebut, kita dapat memastikan jemaah haji menerima maklumat serta pendidikan kesihatan untuk mereka mempraktikkan aktiviti pencegahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette