Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan calon dan penyokong yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) tidak membangkitkan isu sensitif.

Baginda bertitah, perihal agama, perkauman serta isu-isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di Selangor tidak wajar digunakan ketika berkempen.

“Calon-calon dan penyokong mereka juga diingatkan agar tidak mencaci, menabur fitnah dan mengadu domba terhadap pihak lawan ketika berkempen bagi mengelakkan perpecahan di kalangan rakyat negeri Selangor yang berbilang bangsa ini,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda berharap agar parti yang bertanding menjalankan kempen secara berhemah dan bertanggung-jawab dengan mematuhi undang-undang pilihanraya yang sedia ada serta undang-undang lain yang berkaitan

Baginda sebelum itu berkenan untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor ke-14 pada Jumaat ini.

Baginda menandatangani Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Dewan Negeri Selangor, disusuli oleh Datuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin menjelaskan Istiadat Pengisytiharan Pembubaran Dewan Negeri Selangor diadakan lebih awal kerana baginda dan Tengku Permaisuri Selangor InsyaAllah akan berangkat menunaikan fardu haji pada 20 Jun.

“Maka oleh yang demikian, beta dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959.

“Dan setelah berunding dan menerima permintaan pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor dari Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar telah berkenan untuk menandatangani Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor pada hari ini.

“Dan akan berkuat kuasa pada hari Jumaat 23 Jun 2023 bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri Selangor diadakan,” titah baginda.

Baginda dan permaisuri dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji pada 4 Julai ini.

“Beta berharap Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan sekelian yang hadir dapat mendoakan agar Allah Subhanahu Wata’ala mempermudahkan segala urusan Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ketika menjalankan ibadah haji dan memperolehi haji yang mabrur,” titah baginda.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sultan Sharafuddin perkenan bubar DUN Selangor Jumaat ini