Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah trafik penumpang penerbangan bagi suku pertama 2023 meningkat iaitu sebanyak 123.6 peratus tahun ke tahun atau 19.4 juta penumpang.

Trafik penumpang antarabangsa telah meningkat pada purata 80.9 peratus suku ke suku susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara sepenuhnya.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, Hak Trafik Udara (ATR) antarabangsa yang diluluskan juga telah mencatatkan peningkatan ketara tahun-ke-tahun iaitu sebanyak 246.1 peratus, menunjukkan pemulihan kukuh pasaran antarabangsa.

Selain itu, jumlah trafik penumpang mencapai 73.0 peratus daripada paras jumlah trafik penumpang pada tahun 2019.

Dengan prestasi ini, Mavcom mengekalkan ramalan trafik penumpang udara seperti yang diumumkan pada tahun Disember 2022.

Malah, Mavcom menjangkakan trafik penumpang udara akan meningkat antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, mencapai antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.

Bagaimanapun, dalam tempoh ini, prestasi kargo penerbangan menurun dengan jumlah Freight Tonne Kilometre (FTK) telah berkurang sebanyak 11.0 peratus tahun ke tahun kepada 4,666 juta, menandakan penurunan prestasi kargo suku kedua yang berturut-turut.

Penurunan ini selaras dengan prestasi perdagangan Malaysia dalam suku yang sama, disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kelembapan ekonomi global, peralihan berterusan dalam perbelanjaan pengguna daripada barangan kepada perkhidmatan, serta kitaran turun dalam industri Elektrik & Elektronik (E&E).

Namun, trafik kargo udara diramalkan berkembang antara 3.0 peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023.

Berdasarkan prestasi kargo yang mencabar pada suku pertama 2023, Mavcom meramalkan trafik kargo bagi tahun 2023 akan berada di sekitar tahap rendah ramalan, menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun industri penerbangan mengalami pengurangan dalam jumlah trafik kargo udara pada tempoh tersebut, lonjakan yang luar biasa dalam jumlah trafik penumpang memberikan gambaran yang baik tentang daya tahan industri penerbangan kita.

Prestasi luar biasa ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri penerbangan untuk pulih tetapi turut menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan sektor yang berterusan sepanjang tahun 2023.

Kedudukan kesalinghubungan udara Malaysia meningkat kepada taraf kelima di ASEAN, mengatasi Filipina, dengan skor kesalinghubungan udara sebanyak 61.0 pada tahun 2022.

Peningkatan ini boleh dikaitkan dengan penambahan bilangan kerusi bagi penerbangan antarabangsa ke destinasi-destinasi mempunyai nilai yang lebih tinggi berikutan pembukaan semula sekatan sempadan pada suku ketiga tahun 2022. Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 and Terminal 2 (KUL) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang yang mempunyai taraf kesalinghubungan udara keempat tertinggi di ASEAN.

Laporan Waypoint Mavcom turut menunjukkan bahawa purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia – purata kos tempat duduk kilometer tersedia (RASK-CASK) kembali stabil kepada 1.6 sen pada suku keempat tahun 2022. – MalaysiaGazette