Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Lim Kit Siang atas ‘keprihatinannya’ sama ada Presiden Gerakan adalah calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi Perikatan Nasional (PN).

Menurut Dominic, veteran DAP itu tidak perlu risau mengenai hal-hal itu sebaliknya perlu menjawab adakah Chow Kon Yeow akan terus berkhidmat sebagai ketua menteri selepas pilihan raya negeri nanti.

Ini kerana, katanya, sebuah portal melaporkan terdapat desakan dalam DAP untuk menjatuhkan Kon Yeow dan mengembalikan jawatan itu kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Dominic berkata, walaupun portal berkenaan telah menarik balik dan membuat permohonan maaf serta mengatakan laporan itu salah tetapi rakyat Malaysia tidak percaya laporan itu satu berita palsu.

“Walaupun Guan Eng sendiri menafikannya, setakat ini Kon Yeow sendiri tidak tahu siapa bakal calon Ketua Menteri Pulau Pinang akan datang.

“Sekiranya veteran DAP itu rasa penting siapa jadi ketua menteri, mereka harus mengumumkan sekarang sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRN kali ini siapa akan dilantik Ketua Menteri” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dominic, lagi pun DAP adalah Kerajaan Pulau Pinang ketika ini dan mereka sepatutnya sudah ada jawapan itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, PN dan Gerakan sentiasa mengutamakan rakyat bukan jawatan.

“Kami bukanlah DAP dan Gerakan tidak akan bekerjasama dengan musuh politik yang telah bersengketa selama berpuluh tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adakah Dominic jadi calon Ketua Menteri P. Pinang? – Kit Siang