KOTA KINABALU – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) perlu meningkatkan kerjasama strategik dan menjadi peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Borneo dan negara jiran yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di rantau ASEAN.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, tidak mustahil untuk NIOSH menjadi peneraju KKP di rantau ini berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang ada, manakala pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan NIOSH dan anak syarikatnya, NIOSH Certification, adalah setaraf dengan agensi antarabangsa.
Beliau berkata, semua pihak berkepentingan perlu menggembleng tenaga dan menyokong usaha kerajaan meningkatkan tahap KKP di keseluruhan wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kerana ia merangkumi keluasan 1.6 juta kilometer persegi dengan anggaran 73 juta penduduk.
“Peruntukan besar yang sedang mengalir ke rantau ini sudah pasti membawa limpahan pembangunan yang pesat terutamanya dari aspek ekonomi dan fizikal.
“Namun, ia akan turut memberi cabaran baru dari sudut sosial termasuk pembangunan sumber manusia serta risiko berkaitan KKP yang turut merangkumi kemalangan di tempat kerja dan kemalangan ulang-alik (commuting accidents),” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali Ke-8 (BOSH 2023), di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah persediaan untuk pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur serta usaha melengkapi pelbagai projek mega pertanian dan hidroelektrik yang dirancang Kerajaan Indonesia di Kalimantan, yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di bawah wilayah BIMP-EAGA.
Antaranya, beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
“Kedudukan Sabah dan Sarawak yang diangkat kepada wilayah, serta peruntukan pembangunan sebanyak RM12.1 bilion untuk kedua-dua wilayah ini di bawah Belanjawan 2023, membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan ekonomi di rantau ini,” katanya.
Mengenai BOSH 2023, beliau berkata tema yang dipilih iaitu “Transformasi Borneo untuk Masa Depan Lebih Berdaya Tahan” amat bertepatan kerana ia memberi penekanan kepada ikhtiar secara holistik agar segala dasar berkaitan KKP dan pelaksanaannya di Malaysia lebih manusiawi serta sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
Beliau berkata, segala ilmu, kepakaran dan pengalaman yang dikongsi dalam BOSH 2023 dapat membantu semua pihak menghadapi cabaran baru KKP dan pada masa yang sama, memberi maklum balas untuk kerajaan merangka atau menambah baik polisi KKP sedia ada.
“Mereka yang terlibat dalam persidangan sebegini akan turut membincangkan isu-isu kritikal masa kini, seperti sistem sokongan kesihatan mental di tempat kerja serta cabaran yang dibawa oleh teknologi masa depan.
“Hasil perbincangan dan sesi forum yang dijalankan sepanjang persidangan sudah pasti mampu membantu Kerajaan merangka polisi baru atau menambah baik polisi sedia ada demi menjamin kesejahteraan majikan dan pekerja,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi NIOSH A. Maniam mengumumkan program BOSH akan diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di Sabah dan Sarawak mulai tahun ini. Sejak diperkenalkan NIOSH pada tahun 2009, program tersebut diadakan setiap dua tahun sekali.
Beliau berkata, NIOSH sentiasa bersedia berkongsi kepakaran dengan kerajaan kegeri dan industri bagi memastikan warga kerja di Sabah dan Sarawak mempunyai kesedaran, pengetahuan dan kemahiran KKP untuk mengelak berlakunya kemalangan dan penyakit pekerjaan.
Program dua hari tersebut berjaya menarik lebih 300 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang KKP di dalam dan luar negara. Turut hadir Pengarah Eksklusif NIOSH Ayop Salleh. – MalaysiaGazette