Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kelantan direkodkan sebagai negeri yang mempunyai paling banyak tanah rizab Melayu sehingga tahun lalu.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah keseluruhan keluasannya setakat 30 Disember tahun lalu adalah 4,996,406.42 hektar.

Kelantan merekodkan 1,453,025.30 hektar, kedua negeri Perak dengan 953,040.87 hektar, ketiga negeri Kedah dengan 716,537.28 hektar, keempat adalah negeri Johor 561,053.70 hektar, Terengganu (Tanah Pegangan Melayu) dengan 444,409.81 hektar, katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Negara, hari ini.

Nik Nazmi menjawab pertanyaan lisan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu berapa jumlah yang masih ada di setiap negeri dan apakah langkah-langkah tegas Kerajaan bagi membendung kesusutan ini dengan gantian menurut ketetapan undang undang.

Negeri lain adalah Pahang dengan 444,074.90 hektar, Negeri Sembilan dengan 226,403.82 hektar, Selangor (162,505.25 hektar), Perlis (32,705.10 hektar), Terengganu (1,650.91 hektar) dan Kuala Lumpur dengan 999.48 hektar.

Jumlah itu diperoleh oleh pihak Kementerian daripada Pentadbiran Tanah Negeri selaras dengan bidang kuasa masing-masing mengikut Enakmen Tanah Rizab Melayu (kecuali negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai Tanah Rizab Melayu). – MalaysiaGazette