KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menawarkan bantuan sekiranya diminta oleh pihak terbabit berhubung insiden seorang wanita maut ditimpa Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Seg Hwa, Segamat, Johor.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersimpati atas kejadian yang menimpa wanita berusia 55 tahun dalam kejadian ribut malam tadi.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga wanita berkenaan.
“Saya difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, mangsa, V Mahadevi meningal dunia selepas sebahagian bumbung itu menghempap rumahnya yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal yang diterima saya difahamkan pembinaan bangunan ini dahulu diuruskan oleh Lembaga Pengelola Sekolah.
“Di pihak KKR, saya ingin memaklumkan kita bersedia untuk menawarkan bantuan dalam apa juga cara di bawah kapasiti KKR sekiranya diminta oleh pihak-pihak yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Media melaporkan, kejadian berlaku Kampung Tahang Rimau dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Komander operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Abd Rahim Rahmat, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung bumbung runtuh di SMJK Seg Hwa, kira-kira 7.41 petang.
Katanya, runtuhan bumbung berkeluasan 5,400 kaki persegi itu diterbangkan angin kencang dan menghempap rumah mangsa yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan.
“Mangsa kemudiannya berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Segamat,” katanya.
Laporan menyebut, kejadian ribut tersebut menjejaskan beberapa mukim.
Paling teruk terjejas adalah di Mukim Sungai Segamat yang membabitkan 20 keluarga daripada Kampung Tahang Rimau, Kampung Jawa dan Kampung Tengah.
Kejadian itu dikatakan menjejaskan kira-kira 15 kediaman di Mukim Gemereh dan Mukim Pogoh selain beberapa gerai peniaga.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: