Foto pertemuan yang dikongsi Anwar di Facebook beliau.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu.

Menurut Anwar, beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada Shaik Abdul Rashid untuk berhadapan cabaran semasa sekali gus menaikkan ekonomi negara.

“Saya menzahirkan rasa keyakinan yang tinggi kepada beliau dalam meneruskan kebijakan monetari yang mampan dan stabil, dan ia pastinya akan ditingkatkan agar kedudukan kewangan negara menjadi lebih baik, kukuh dan stabil.

“Saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada Gabenor yang baharu dalam mendepani tantangan semasa lantas mencipta lonjakan yang baharu buat negara tercinta,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Shaikh hari ini.

Pada 9 Jun lalu BNM mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor BNM untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Abdul Rasheed akan mengambil alih jawatan Gabenor BNM daripada Tan Sri Nor Shamsiah yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.

“Saya utus penghargaan buat Tan Sri Nor Shamsiah atas jasa bakti beliau mengemudi Bank Negara Malaysia terutamanya ketika negara melalui saat-saat sukar dan getir sepanjang tempoh wabak menyerang,” kata Anwar.

Abdul Rasheed mula berkhidmat di bank pusat itu pada 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan. Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015.

Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Sektor Kewangan. – MalaysiaGazette