Razarudin Husain @ Abd Rasid

KUALA LUMPUR – Tan Sri Razarudin Husain bakal menggantikan Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.

Istiadat Serah Terima Tugas Jawatan KPN dijadualkan pada jam 9 pagi Khamis ini di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Sementara Paluan berundur untuk Acryl Sani ditetapkan pada jam 3 petang pada hari dan tempat yang sama.

Dalam pada itu maklumat tular sejak malam tadi bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Razarudin sebagai KPN dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.

Ayob Khan Foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2022.

Kementerian Dalam Negeri dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai pelantikan kedua-dua jawatan itu esok.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghadap YDPA dan mempersembahkan nama Razarudin dan Ayob Khan.

Selain Ayob Khan, turut tersenarai sebagai calon untuk jawatan Timbalan Ketua Polis Negara ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.

Razarudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2021 sebelum dilanjutkan secara kontrak selama dua tahun sehingga 15 Mac 2025.

Acryl Sani dilaporkan akan meninggalkan jawatannya pada minggu pertama Julai ini, lebih awal tiga bulan daripada tarikh tamat kontrak pada 3 Oktober 2023.

Sementara itu Ayob Khan yang dihubungi MalaysiaGazette enggan mengulas mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette