Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Datuk Seri Najib Razak telah membayar RM23 juta kepada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd untuk membekalkan pasukan media antarabangsa dan penulisan ucapan dalam bahasa Inggeris ketika menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu didedahkan ketika saksi pendakwaan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion, Datuk Mohd Omar Mustapha yang juga merupakan pengasas dan Pengarah Semarak Konsortium memberikan keterangannya hari ini.

Saksi pendakwaan ke-45 itu mendakwa beliau telah menerima pembayaran sebanyak RM23 juta melalui 39 keping cek kepada syarikatnya antara rempoh 2011 hingga 2014.

Jelas Mohd Omar, bayaran itu untuk pelbagai perkhidmatan termasuk menyediakan teks ucapan dalam Bahasa Inggeris untuk Najib sama ada di dalam atau di luar negara, menyelaras segala urusan dengan pihak media antarabangsa yang berpusat di Malaysia.

Selain itu, syarikat itu melaksanakan kordinasi temuduga Najib sewaktu lawatan ke luar negara dengan media antarabangsa selain menyediakan deraf temuduga atau artikel oleh Najib dalam majalah atau suratkhabar dalam Bahasa Inggeris.

Mahkamah juga didedahkan oleh Mohd Omar yang juga merupakan bekas pegawai Najib sebelum ini, urusan perkhidmatan syarikatnya kepada Najib bermula selepas timbul isu perkhidmatan oleh APCO Worldwide kepada kerajaan Malaysia ketika itu dan kerajaan telah membayar kepada APCO sebanyak RM76.8 juta setahun.

“Bayaran telah dibuat oleh kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa yang telah diberikan oleh APCO antara Julai 2009 hingga Jun 2010, pembayaran ini menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak  pembangkang dalam Parlimen dan sehubungan itu saya difahamkan kontrak antara APCO dan kerajaan selepas itu tidak disambung.

“APCO merupakan antara syarikat PR Antarabangsa yang terbesar di dunia yang mempunyai ibu pejabat di Amerika Syarikat dan mempunyai cawangan lebih daripada 30 buah negara termasuk Malaysia. Daripada isu itu, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ,” katanya ketika membaca keterangan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Mohd Omar juga memaklumkan beliau menghubungi Ketua Eksekutif APCO Malaysia, Paul Stadlen untuk bertanya sama ada beliau bersedia untuk keluar daripada APCO dan menyediakan perkhidmatan secara persendirian.

“Paul bersetuju dan saya telah berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan Bahasa Inggeris kepadanya.

“Saya tawar perkhidmatan kos dahulu (reimburse) dengan mengemukakan tuntutan kos setiap bulan. Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu dan saya juga tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani.

“Urusan ini hanyalah melibatkan perjanjian lisan sahaja memandangkan isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan. Najib percaya saya kerana beliau mengenali saya selepas perkhidmatan saya dengannya sebagai pegawai khas ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri antara 2004 hingga 2005,” ujarnya.

Saksi itu juga mendedahkan beliau  berjumpa Najib sendiri bagi menuntut bayaran di pejabat Perdana Menteri setiap bulan selama tiga tahun.

“Saya jumpa beliau setiap bulan selama tiga tahun dan memberikannya invois, beliau akan terus membayar bayaran tuntutan itu tanpa sebarang pertanyaan. Saya juga tidak pernah dipersoal oleh pihak bank atau menerima red flag berkait cek-cek itu,” tegasnya ketika di soal balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Prosiding sedang bersambung ketika ini.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette