KUALA LUMPUR – Majlis Istiadat Paluan Berundur bersempena persaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dijangka diadakan Khamis ini.
Istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan dilangsungkan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang terletak di Jalan Semarak.
Dalam pada itu, majlis upacara serah terima tugas jawatan Ketua Polis Negara oleh Acryl Sani kepada penggantinya Tan Sri Razarudin Husain akan diadakan sekitar pukul 9 pagi.
Manakala paluan berundur untuk Acryl Sani akan diadakan pada pukul 3.30 petang hari dan tempat yang sama.
Sebelum ini, Acryl Sani dilaporkan akan meninggalkan jawatannya pada minggu pertama Julai ini iaitu tiga bulan lebih awal berbanding tarikh sebenar 3 Oktober 2023.
Sebelum itu, beliau yang bersara wajib pada September 2021 telah disambung kontrak selama dua tahun sehingga Oktober 2023. – MalaysiaGazette