Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman

UALA LUMPUR – Seorang pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas pihak yang terlampau ‘menyanjung’ konsert kumpulan rock popular Britain, Coldplay di negara ini dengan menggunakan alasan ekonomi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman berkata,pihak  tersebut umpama tidak sensitif terhadap elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang didakwa dibawa oleh kumpulan itu.

Tanpa menamakan pihak yang berkenaan, Muhammad Faiz dipercayai merujuk kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan, Malaysia terlepas peluang menjana lebih banyak pendapatan daripada penganjuran konsert kumpulan Coldplay.

“Bila terlampau sanjung konsert Coldplay atas alasan ekonomi, nampak sangat kamu tidak sensitif dengan elemen eL Gee Bee Tea (LGBT) serta budaya hedonisme yang menjahanamkan tamadun Barat hari ini.

“Kita bukan Singapura bro,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Semalam, Syed Saddiq dilapor berkata, Malaysia terlepas peluang menjana lebih banyak pendapatan daripada penganjuran konsert Coldplay apabila ia hanya berlangsung sehari di negara ini berbanding enam hari di Singapura.

Ahli Parlimen Muar itu mendakwa, kesukaran dan perbalahan untuk mengadakan konsert di negara ini menyebabkan Malaysia terlepas ‘loteri ekonomi’.

“Coldplay mengadakan konsert di Singapura selama enam hari. Malaysia pula nak buat satu konsert pun banyak halangan.

“Kita sebenarnya terlepas ‘loteri ekonomi’,” katanya.

Coldplay dijadual mengadakan konsert di negara ini pada 22 November nanti.

Sementara itu, Live Nation yang merupakan penganjur memaklumkan, konsert kumpulan itu di Singapura akan berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 26, 27, 30, 31 Januari tahun depan. – MalaysiaGazette