Delegasi PB Hotel telah mendapat undangan khas sebagai tetamu istimewa dari Pengerusi Dubai Traveller Festival, Sheikh Awad Mohamad Mejren di istana beliau di Dubai baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Paya Bunga Hotel (PB Hotel) Terengganu terus melakar sejarah apabila sekali lagi mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila dipilih oleh International Travel Award sebagai pemenang bagi kategori Best City Hotel.

Penyampaian anugerah tersebut telah diadakan di Waldorf Astoria Palm, Jumeirah, Dubai, UAE baru-baru ini yang melibatkan penyertaan 4000 pemain industri hospitaliti dan pelancongan dari 70 buah negara dalam pelbagai kategori yang telah dipertandingkan.

Pengurus Besar PB Hotel Abdul Hadi Alias berkata, anugerah itu merupakan antara faktor pelanggan menjadikan hotel itu sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Kuala Terengganu.

“Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah banyak memberi sokongan dan dorongan kepada PB Hotel hingga mencapai ke tahap ini.

“Semoga anugerah ini dapat menyuntik semangat warga kerja PB Hotel untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan dan komitmen yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke PB Hotel,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

International Travel Award melibatkan penyertaan 4000 pemain industri hospitaliti dan pelancongan dari 70 buah negara.

PB Hotel telah diwakili oleh Ketua Pegawai Korporat PMINT, Mohd Anuar Abdullah, Pengurus Besar PB Hotel, Abdul Hadi Alias serta dua orang lagi dari pasukan pengurusan kanan PB Hotel.

Selain PB Hotel, sebuah lagi hotel dari Malaysia, The Granite Luxury Hotel Penang yang merupakan hotel di bawah MSummit Group turut terpilih sebagai pemenang bagi katagori The Best Design Hotel.

Abdul Hadi berkata, pihak delegasi PB Hotel telah mendapat undangan khas sebagai tetamu istimewa dari Pengerusi Dubai Traveller Festival, Sheikh Awad Mohamad Mejren di istana beliau.

“Antara yang menarik dalam sesi perbincangan itu, Sheikh Awad mempelawa delegasi kami untuk menerokai peluang di Dubai serta menyatakan hasrat beliau untuk meneroka peluang dagang di Malaysia dalam industri minyak dan gas serta kewangan,” katanya.

PB Hotel Terengganu merupakan Hotel Patuh Syariah yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Kuala Terengganu.

Menempatkan dirinya sebagai hotel bandar 4 bintang, PB Hotel memiliki 208 bilik dan suite yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Terletak di Pusat Bandar Kuala Terengganu, hotel ini menawarkan suasana tenang, kemudahan menarik dan menyeronokkan.

Maklumat lanjut mengenai PB Hotel di laman web https://www.payabungahotel.com. – MalaysiaGazette