Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang memberikan kuasa kepada pegawai intervensi krisis (pegawai agensi-agensi di bawah sistem Malaysian Emergency Response Services – MERS 999) untuk menangkap (menyelamatkan) seseorang yang cuba bunuh diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, perkembangan berkenaan menyaksikan kini ketiga-tiga RUU berkaitan cubaan bunuh diri selesai.

Ujar beliau, kini ketiga-tiga RUU berkenaan perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan

“Sehingga selesainya proses di perenggan empat, suatu moratorium masih lagi berkuat kuasa ke atas pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan bunuh diri dan tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah seksyen tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Ram Karpal mengucapkan terima kasih kepada kepada semua pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan sepenuhnya dalam usaha yang akan mengubah pendekatan terhadap cubaan bunuh diri.

Semalam, RUU Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 yang antara lain, menyahjenayahkan cubaan bunuh diri yang diluluskan.

Sebagai rekod, RUU berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 4 April lalu kemudian diluluskan di Dewan Rakyat, 22 Mei lalu.-MalaysiaGazette